Printable Version of Topic
Click here to view this topic in its original format
Teratak Cinta Sayang > Teratak Tinta Puisi > Koleksi Puisi Anna Abadi


Posted by: ad Sep 12 2009, 07:49 AM
Buat Temanku Yang Sedang Bersedih

Buat temanku yg sedang bersedih
setelah kuamati luahan perasaanmu
diriku turut terasa sayu
kerana apa yg kau rasakan
seolah jiwaku yg merasakan
kita berkongsi kisah duka
walau berlainan aturan ceritanya
rasa itu tetap sama
suatu kesedihan yg berat
kita terbelenggu di dalamnya...

Kita mahu keluar dari silam
dan melupakan segala
tetapi kenangan itu tak terpadam
ia bukan seperti karya novela
yg boleh diubahsuai jalan cerita
mengikut kata hati pengarangnya...

Kita meniti perjalanan realiti
takdir Tuhan yang Maha Mengetahui
segalanya dibawah lembayungNya
kita berusaha tetapi Dia jualah yg menentukan
percayalah sayang...
apa yg berlaku ada hikmahnya
kerana Dia jualah Maha Menyayangi
takkan ditimpakan ujian kepada hambaNya
sekiranya kita tak mampu menanggungnya....

Kau berkata, sayang
tiada siapa yg tahu selama ni tentang dirimu
sebahagian kisah hidupmu adalah suatu rahsia
nasibmu yg malang hanya kau pendam
kau menangis kesedihan keseorangan
oh sayang...betapa kita ada persamaan
aku juga tak mahu orang tahu
betapa aku juga mempunyai kisah sedih
namun ketahuilah sayang
setiap insan pasti ada secebis rahsia
yg seboleh mungkin mahu dipadamkan
walau berkali-kali mencuba tidak mungkin
mustahil kita menidakkan
sesuatu yg telah terjadi....

Sayangku...
kumengerti perasaanmu
bersabarlah sayangku..
ujian itu tanda Tuhan sayang kita...
Tuhan mengasihi orang yg sabar
pasti doamu suatu hari kan terjawab
jgn kau berputus asa pada rahmat Tuhan
kepadaNya sahaja kita berserah....

Sahabatku yang sedang bersedih
sapulah air matamu yg sedang mengalir
aku begitu sayu melihatmu begitu
mahu kusapu air mata itu dari pipimu
dan memelukmu dalam dakapanku
sambil berkata "Segalanya akan baik-baik saja"
ya...harapanku ada senyuman dibibirmu
senyuman yang bukan dipaksa
tapi terbit dari hati...

Sahabatku jangan bersedih..
kuizinkan kau menabir dirimu
hakikatnya bukan kau saja
percayalah ramai lagi yg berteduh di sini
dengan identiti yg berbeza-beza
namun punya hati yg sama....

Tidak mengapa sayang
ia bukan suatu dosa
asal saja ia dapat meringankan bebananmu
itulah yg paling kudoakan
luahkan segala curahan hatimu
selagi ia terpendam di lubuk jiwa
selagi itu kutahu ia memedihkan
bagai hati kita dirobek-robek
menjadi kepingan-kepingan
yg terbang dek angin
tapi pulang kembali memakan diri...
alangkah sadisnya..
bertahan sayang..bertahan...
Tuhan mendengar rintihanmu...

Buat sahabatku yang membaca puisi ini
benarlah puisi ini dikarang khas buatmu
sekiranya kau sudah habis membacanya
ingatlah bahawa ada seseorang
yg mendoakan kebahagiaanmu
percayalah bahawa dalam dirimu ada kekuatan
kau pasti dapat bangkit semula
dan menyapu rasa sedih dan kecewa
lantas membina semangat baru
suatu kehidupan yang tenang
dan diselangi keceriaan dan tawa...

Sayangku...
Senyumlah...
kerana aku turut tersenyum
melihat kau mula mengesat airmatamu
dan menguntum senyuman.....

Aku yakin sayangku...keceriaan akan kembali semula....

"Akhir sekali maaf dipinta buat anna tersayang.
_ _ _ _ memang sayang anna...
sayang selalu... "


Aku pun sayang kamu....
sayang selalu...



Salam sayang,
Anna Abadi tcs_rose.gif
suatu dinihari yg hening....

Posted by: ad Sep 12 2009, 07:54 AM
Menyintai Tidak Bermakna Memiliki

Janganlah kau angkuh melaungkan
si dia kepunyaanmu
atau kau kepunyaan si dia
kerana hakikatnya
kita tidak pernah memiliki sesiapa
walau sekeping hati seorang insan
tidakkah kau sedar
hukum alam menyatakan
menyintai tidak semestinya memiliki?

Manusia pandai berpura
berlakon di pentas dunia
dan bertopeng menutup rahsia
tetapi hati
tidak pernah berdusta pada empunya
tentang perasaan yang bergolak di dalamnya

Tidakkah kau sedar
mungkin si dia melafazkan
ungkapan cinta padamu
tetapi hati dan perasaannya
tidak pernah berniat begitu
dia hanya berselindung
di sebalik sejuta alasan

Dan kau
begitu jujur dan setia menyintainya
sehingga terlupa
hukum alam menyatakan
menyintai tidak bermakna memiliki

Sesungguhnya...
"Aku tidak pernah memiliki dirimu...
dan kau jua tidak memiliki diriku."

Mengertilah
kita sebenarnya kepunyaan
Yang Maha Esa
tiada sesiapa berhak memiliki dir kita
kecuali Dia
Dia mengasihi hambaNya
Dia memiliki hambaNya
Dan ke pangkuan Dia kita kembali

Posted by: ad Sep 12 2009, 07:56 AM
Menyintai Atau Tak Menyintai?

Adakah kau menyintai...
atau tidak menyintaiku???
pertanyaan ini sudah lama bersarang difikiranku
cuma lidah kelu melontarkan
ia kekal menjadi pertanyaan
yang tak terjawab

Kau melayanku seperti teman biasa
tetapi di lain waktu seperti seorang kekasih
kau kerap mengusikku dengan gurauan bersahaja
nadanya seolah menyatakan
aku hanya sekadar seorang sahabat
boleh diusik dengan pelbagai jenaka
dipanggil dengan pelbagai gelaran
namun bersama temanmu yang lain
kau diam-diam memujiku
kau katakan yang indah-indah
kau menghormati dan mengkagumiku...

Mereka berkata
setiap kali kau membicarakan tentangku
ada sinar cahaya di matamu
ibarat membicarakan sesuatu yang suci
adakah itu petandanya kau menyintai
atau...tidak menyintaiku...?

Di suatu masa kau begitu memanjakan aku
di suatu masa yang lain kau buat tak endah
ada saatnya kau diam-diam mencuri pandangan
bila ku tersedar kau cepat-cepat berpaling
adakah kau mampu melindungi
wajahmu yang berubah merah??

Katakan padaku
adakah kau menyintai atau
tidak menyintaiku???
adakah aku hanya dilanda perasaan
tersalah tafsir dengan sifatmu yang mengelirukan
atau aku sebenarnya lebih keliru
dengan perasaanku sendiri
adakah aku menyintai
atau tidak menyintai dirimu....??

Posted by: admin Sep 12 2009, 08:05 AM
Harapan

Awan kelabu menyelubungi diri
ribut melanda segenap fikiran
penderitaan bagaikan darah daging
lautan air mata melemaskan diri
Bebaskan daku!

Di hujung sana kulihat
keindahan dan keriangan
aroma mesra
memukau sukma
kasih sayang
melimpah ruah
kebahagiaan merupakan
suatu realiti..tetapi
hanya di sana..

Aku cuba berjuang
membebaskan diri
bergelut dalam segala kepayahan
dengan harapan
penderitaan itu berlalu
usahlah mendera diriku lagi
kerana aku
sudah bosan berduka
dan kini mendambakan
sejalur bahagia.......

Posted by: admin Sep 12 2009, 08:06 AM
Putra

dari meminati menjadi cinta
walau dari kejauhan
walau tanpa sedarmu
menyintaimu suatu kebahagiaan
tak terhingga rasanya?
Wajahmu yang tenang
mempesonakan
bisa mencairkan jiwa nan lara
sinar matamu bak panahan arjuna
hingga aku bagaikan tersesat
dalam renungan matamu
Putra
Inspirasiku datangnya darimu
kau menghidupkan semangatku
hingga ke awan biru
Ada tikanya kutenggelam
dalam khayalan
ingin bersamamu selamanya
dan kadang-kadang kubermimpi
kita bercinta di atas pelangi
Putra
Curahan hatiku tak terluah padamu
kerana memiliki dirimu
suatu kemustahilan
hingga rela kuterbeban
bahagia dalam kesengsaraan
hanya kerna takdir tersurat
menyintaimu dalam diam
kau sentiasa di hatiku?


Putra (II) (Nukilan Suatu Ketika)

Putra
sukar untuk kunukilkan
dalam bait-bait puisi cintaku
apa yang sebenarnya bergolak
dalam gelora perasaanku
Ia hadir bersama debaran
bak gadis santun yang resah
menunggu pinangan
dalam kemerahan wajahnya
Lingkaran kerinduan
menyesak nafasku
hingga tergamak
kumelangkah sendiri
ke penjara cintamu
dan tak terdaya kulari lagi
dari hukuman ini

Diriku bergelar tawanan
dalam sangkar hatimu
pembebasan tak mungkin lagi
kerana akulah yang bersalah
menyintaimu dalam diam
tanpa permisi

Posted by: ad Sep 12 2009, 08:07 AM
Seorang Faizal Tahir

Faizal Tahir
suatu nama yg pasti tak akan kulupakan
kerana seorang Faizal Tahir itu
adalah teman baikku
dari dulu, kini dan biarlah selamanya

Faizal Tahir
kenapa kau begitu baik terhadap diriku?
kau sentiasa sabar
dengan segala karenahku
kau membantuku apa saja
tanpa mengharap balasan
kau cukup faham dengan diriku

Bila ku muncung
kau buatku ketawa
bila ku bersedih
kau buatku tersenyum
bila ku merajuk
sanggup kau berhari2 memujuk
bila ku kalah
kau mengalah
bila ku berputus asa
kau menyakinkan ku semula

Faizal Tahir
kau lelaki cukup baik
menghormati wanita
malah begitu penyayang
mengambil berat akan diriku
tanpa mengira waktu kau sedia datang padaku
bila ku teresak, kau sabar menasihatiku
bila ku bingung
kau menyedarkan aku kembali
kaulah pendengar paling setia
penyimpan rahsia hidupku paling amanah

Faizal Tahir
inginku pinjam kekuatan dirimu
buat penguat semangat wanitaku
dan sehingga kini
kau berbuatku tertanya-tanya
adakah kau lelaki terlalu sempurna???

Posted by: ad Sep 12 2009, 08:08 AM
Cetusan Melankolia

Andainya kudapat
mencairkan hatimu
yang keras dan jitu
pastilah daku insan
paling bahagia di dunia...

Namun kusedari
aku hanya mampu bermimpi
tak mungkin ia berlaku
kerana kau bagai tersihir
dek kekecewaan cinta semalam
hingga kepercayaanmu goyah
menutup rapat pintu hatimu
lantas kau enggan
bergelar sang putera
di takhta hati
seorang gadis di menara
yang semakin putus harapannya....

Posted by: ad Sep 12 2009, 08:08 AM
Ingin Sekali

Dari kejauhan itu
kuterpandang seraut wajah
tenang dalam diam
namun seakan menyimpan
suatu nostalgia memilukan
rahsia tak terucap
Ingin sekali kumenghampiri
memulakan bicara
berbual mesra
namun hajatku tak pernah
kesampaian
kerna sifat malu seorang wanita
masih menebal dalam diri
Oh bilakah peluang itu
akan tiba akhirnya?

Ingin sekali kuselami
lubuk hatinya
meleraikan misteri
membebaskan kekecewaan lalu
aku ingin sekali melepaskan
belenggu hatinya
dan membangkitkan kembali
ghairah kehidupannya!

Posted by: ad Sep 12 2009, 08:09 AM
Dari Wanita Buat Wanita

Bangunlah wahai teman
jangan terus dibuai mimpi
kita wanita penggerak wawasan
harus tabah menghadapi cabaran
walau seribu dugaan menimpa
semangat kita tak usah padam

Buktikanlah teman
kita mampu seganding mereka
menimba ilmu memancar citra
demi masa depan gemilang
menjadikan kita Wanita terbilang

Wanita berhemah, berkarisma tinggi
manfaat ilmu maruah terjaga
meneroka impian menebus kecewa
mengenggam bara menjadi arang

Duhai teman
hargailah detik kehidupan kita
kegagalan lalu jadikan pedoman
untuk merealisasikan
harapan dan cita
renungkanlah masa depan yang cerah
kerana kita istimewa
kita punya azam
kita punya visi
kita adalah Wanita harapan bangsa
tunggak kejayaan negara!

Posted by: ad Sep 12 2009, 08:09 AM
Di Menara Ini

Aku adalah seorang wanita
yang cuba mengekalkan kesantunan
wanita Timur penuh kelembutan
jua seorang siswi
yang berusaha setengah mati
melengkapkan ilmu di dada
bagi memegang segulung ijazah
penentu masa depan bangsa
dan aku jualah seorang muda
darah masih panas membara
dalam lingkaran penuh dugaan
dikelilingi bermacam ragam
manusia dan peristiwa?

Di menara ini
tiada siapa menghalang
maupun menasihati
teguran hanya segelintir saja
lalu aku pun bebas memilih
jalan hidupku sendiri
jalan ini jalanku
benar salah terletak atasku
atau mungkin di persimpangan
siapa yang peduli?
Oh aduhai!
Aku semakin menyedari
keputusan hidupku
di tangan sendiri???.

Posted by: ad Sep 12 2009, 08:10 AM
Dugaan

Ada tikanya
rasa resah dan hiba
mencengkam jiwa
semangat goyah putus asa
peritnya menahan kecewa
apa yang dicita
tidak kesampaian
kerana yang terjadi
tak seperti yang diingini

Seharusnya
jangan biar kecewa berlarut
jiwa meresah dimamah duka
kelak ia memakan diri

Insafilah...
kita hanya merencana
takdir Tuhan penentu segala
anggaplah ia sebagai dugaan
mengajar erti kesabaran
moga kita tak terhalang
untuk bangkit semula
menebus kegagalan
dengan kembali
berusaha......

Posted by: ad Sep 12 2009, 08:10 AM
Insan Bernama Wanita

Ciptaan indah ini
adalah suatu kurniaan Ilahi
bukan untuk dicemuh dan dikeji
dan bukan jua untuk dipuja hingga terlalai
atau dianggap lemah tanpa gunanya?

Tetapi..
alangkah santunnya
pabila dia dihargai
dibelai dengan penuh kasih
mewarnai semarak cinta dan budi

Hormatilah dia sebagai
insan bernama Wanita
jagailah perasaan halusnya
maruahnya bukan untuk dijual beli
lindungilah dirinya dari dipermainkan
sumbangannya jangan diperkecilkan
kerana dia adalah Wanita
penyambung zuriat bangsa
tulang belakang nadi kehidupan
bersama membantu kejayaan
janganlah dipandang enteng?

Posted by: ad Sep 12 2009, 08:10 AM
Puisi Buat Kekasih

Bila mata kita bertemu
dunia kita yang punya
terasa lidah kelu berkata
namun bisikan hati menggamit rasa
meluahkan sayang melimpah ruah
seakan tiada esok menanti

Pancaran rindu membajai kasih
mentari garang nyaman terasa
kicauan camar rentak cinta
angin berpuput membelai debar
indah alam secantik dikau
kejernihan wajahmu menenangkan jiwa
hati batu cair akhirnya
dek kehangatan cintamu
aku rela tersungkur....

Bicaramu tersusun indah
kupasti kan terpesona
manja suaramu memukau kalbu
menguat lagi degup jantungku
kelembutanmu menyejukkan hati
kehalusan pekertimu mengangkat maruah
Dikau istimewa kekasih sejati
karisma unggul ada padamu
dan pastilah aku bertuah
berjaya merampasmu dari rebutan
memiliki hatimu suatu keajaiban....

Kekasihku
kaulah insan yang menginsafkan diriku
aku dahulu lupa asalku
hanyut dalam dunia sementara
zaman remaja bermain cinta
pelajaran tidak kuendahkan
lalu kuterus hanyut mengemudi masa
hancur agama keranaku

Hasrat ke menara terpendam bisu
aku kalah, rebah dan lemas
tiada tangan dihulurkan padaku
musuh Tuhan terus ketawa
membiarkanku di awangan
agar neraka menjadi milikku
dan hancur agama keranaku...

Namun tatkala kuterkapai
kau hadir dalam hidupku
membawa sinar menerangi kegelapan
menukar musim ke wajah baru
membuang gelita hatiku
kepunahan terubat jua..

Kau berkata...
dahulu aku seorang yang sakit
dibuai mimpi-mimpi indah
fantasi dianggap realiti
kebenaran tiada kulihat
dan nasihatmu agar aku berubah...

Ketika dunia sedang tenat
pemuda-pemudi tersalah langkah
remaja berlibur tanpa arah
gadis berkeliaran di kota desa
titisan air mata ayah bonda
membentuk sungai kekecewaan
lalu bersamamu aku cuba bangun
membentuk peribadi bermaruah
ilmu kutimba sebanyak mungkin
bintang di hamparan langit
kita hitung di malam permai..

Percayalah kekasihku
walaupun kau jauh beribu batu di bumi Eropah
aku akan tetap setia menantimu
jika diizinkan Tuhan
kita pasti bertemu lagi
dengan segulung ijazah tempatan
dan segulung ijazah luar negerimu

Jangan hancur cinta yang kita bina bersama.....

Posted by: ad Sep 12 2009, 08:11 AM
Untukmu, Zie

(buat seorang sahabat yang sentiasa dikenang)

Dikala ini, Zie
aku teringatkanmu
apa khabarmu di sana?
sudah lama kita tidak bertemu
usah dibayangkan
rindu hatiku terhadapmu,teman
adakah engkau juga begitu
atau sudah pun melenyapkan namaku
dari diari hidupmu?
Zie, aku tak pernah melupakan
saat-saat suka duka kita dahulu

Zie yang jauh
adakah kau masih menggelarku sahabat
atau tetap juga kau anggap musuh?
perhubungan kita sudah terputus
lantaran salah faham dan peristiwa itu
takdir itu sungguh kejam
kerna memisahkan kita
menjarakkan kita
aku mahu kau tahu,Zie
aku tetap mengganggapmu
seorang sahabat
yang kukenang sehingga kini

Masihkah kau ingat saat2 manis kita
di alam kampus yang penuh ceria
kita ibarat isi dan kuku
persahabatan kita sungguh akrab
kita sehati sejiwa dalam banyak perkara
ke mana2 sering bersama
hingga orang menganggap kita bersaudara
atau adik-beradik kembar
sememangnya Zie
aku anggap kau seperti darah dagingku sendiri
saudara kembarku
saudaraku sehingga ke akhir hayatku

Zie yang diingati
adakah masih ada bara dendam dihatimu?
tidakkah ia mahu terpadam
api bencimu masihkah marak?
terlampau marahkah engkau terhadapku
sehingga kini tak termaafkan???

Zie,
janganlah turut keegoan kita
kita sama-sama bersalah dahulu
kita tidak matang waktu itu
kita menjadi mangsa persekitaran
kita keliru dan semakin keliru
dan akibatnya persahabatan kita tersungkur

Namun, Zie
demi persahabatan kita yg pernah wujud dahulu
aku telah begitu lama memaafkanmu
aku tidak pernah menaruh benci padamu
aku kini hanya mengharapkan
kau jua sudi memaafkan aku
atas segala kesilapanku sepanjang mengenalimu
adakah masih ada ruang kemaafan dihatimu??

Zie,
angkara peristiwa itu
kita bagaikan orang asing sesama sendiri
tak bertegur sapa
tak mahu lagi mengambil berat
malah kau seolah membuang aku
jauh-jauh dari hidupmu..

Zie,
kedewasaan ini mengajar aku
betapa bodohnya kita memutuskan persahabatan
aku tak menyalahkan sesiapa
ia adalah sebenarnya berpunca
dari kecetekan kita sendiri
dalam menilai erti persahabatan

Aku berterus terang,Zie
aku begitu sayang pada persahabatan kita
aku menangis saat ia menunjukkan tanda
ia akan hancur menjadi debu
tidakkah kau juga menyayanginya??
namun kita juga telah merelakan
ia lerai dan berantakan
dan penyesalan tiada gunanya

Aku doakan kau bahagia Zie
bersama suami dan anak-anak
serta saudara dan teman-teman yang menyayangimu
aku masih sendiri
masih seperti dahulu
masih insan yang pernah kau kenali
cuma mungkin aku berubah dewasa
waktu mematangkan diriku
dalam menjalani kehidupan ini

Zie sahabatku
kita sesama Islam
siratulrahim kita sesama Islam
aku telah melupakan peristiwa itu sepenuhnya
aku tak mahu lagi mengingatinya
ia adalah suatu kisah tragis yang penuh kekeliruan
betapa dalamnya ia melukakan hati kita
terlalu dalam, Zie
sungguh tragis
hanya kau dan aku sahaja
yang mengerti

Zie...
pahatkan ayat ini dihatimu
"Kau tetap sahabatku
walau apa tanggapanmu terhadapku..."

Salam Ingatan Dariku Untukmu

Posted by: ad Sep 12 2009, 08:15 AM
Cinta Terhalang

~buat mereka yg mengerti~

Di suatu hari yang indah
kita ditakdirkan bertemu
sama-sama membalas senyuman
sama-sama membalas jelingan
tanpa diduga sama sekali
kerna pertemuan indah itu jualah
kita ditakdirkan jatuh cinta!

Saat kita merancang
untuk membina mahligai bahagia
disatukan dalam ikatan suci
halangan datang silih berganti
ujian menimpa bagaikan badai
dugaan menerpa ibarat ribut merah
air mata mengalir tak berhenti
apalah daya bila cinta terhalang

Ayahanda bonda
dan juga sanak saudara
kami datang memohon restu
kenapa dihalangi cinta yang suci
restuilah percintaan ini
ia berlandaskan niat yang murni
pernikahan mengikut hukum Ilahi
bukan sempadan pilihan kami
satukan kami menurut adat dan agama
jangan biarkan kami sengsara

Oh Tuhan
apalah daya kami
bila cinta tak direstui keluarga
semakin kuat mereka cuba memisahkan
semakin kuat cinta kami jadinya
berilah petunjuk
agar jalan yg kami ambil tidak bertentangan

Cinta ini cinta terhalang
setiap arah ada penghadang
ke mana lagi hendak dituju
adakah mereka akan terus membiarkan
hati ini merana memakan diri
dan air mata bertukar darah???
apalah dosa kami
hingga dihukum sedemikian rupa…

Perpisahan adalah penyelesaian
tapi perpisahan adalah pilihan terakhir kami
mereka tahu tapi mereka enggan terima
bahawa perpisahan bukanlah jalan terbaik
kami mungkin terpisah
tapi begitu dekat di hati
kami mungkin berjauhan
tapi hati kami tetap bersatu
kami mungkin dikahwinkan dgn pilihan keluarga
tapi percayalah perkahwinan itu tak akan bahagia
bila satu jiwa sedang merana

Cinta ini cinta terhalang
mungkin ada hikmah disebaliknya
kami kan terus berdoa memohon restu Ilahi
dan menanti penuh sabar restu famili
Oh Tuhan..kami akur sekali
jodoh dan maut di tanganMu
mana mungkin kami menentukan sendiri
andai tiada jodoh
kami redha
kerana kami sedar
kasihMu pada hambamu lebih besar
dari kasih manusia sesama manusia
betapa kerdilnya kami disisiMu

Tuhan..berilah pedoman buat kami
yang semakin hari semakin keliru
jangan biarkan kami tewas
hingga memilih jalan yang salah
hanya padaMu kami berserah
moga cinta kami direstui…

Posted by: ad Sep 12 2009, 08:19 AM
Ketika Hati Menangis

~monolog suatu malam~

Tuhanku,
ketika hati sedang menangis
hanya Engkau saja yang tahu
betapa merananya diriku
tak mungkin yang lain tahu….

Tuhanku,
ketika mereka meninggalkan aku
sendiri terkapai-kapai
ketika dunia tiada simpati
Kau tetap mendengar rintihanku
padaMu tempatku menagih kasih
ketenangan kurasa mendekatiMu
syahdu malam tak terasa sunyi..

Tuhanku,
ketika aku dalam kepayahan
keseorangan dihimpit beban derita
Kau beri aku kesabaran
pengalaman mengajar erti kematangan
lantas Kau membuka pintu hatiku
untuk memberi kemaafan
pada mereka yang pernah melukakanku..
pada mereka yang terus melukakanku…
dan pada mereka yang tersedar kerna melukakan…

Tuhanku,
ketika aku buntu
keliru dengan masa depanku
kau berikan aku kekuatan
Kau tunjukkan aku jalan
peluang kedua yang sungguh bermakna
sebagai suluh hidupku
menebus usia yang sia-sia
mengganti semalam yang pergi
memperbaiki kelemahan diri
mempelajari pengajaran dari kesilapan
menimbus kekecewaan dan dendam

Moga tiada lagi aku
bercita-cita lemas di laut
atau terlanjur menelan berlebihan pil
sungguh pelik bunyinya tetapi benar
hanya Kau saja yang mengerti
hatiku terseksa sekian lama
kini akhirnya bangkit semula
melupakan episod terakhir
dan menyambut lembaran baru…

Tuhanku Yang Maha Pengasih
rahmatMu tak terkira
syukurku melangit pun tak tercapai
sungguh aku rasa berdosa
kerana dulu sering terlalai
semoga penyesalanku kau terima…


Posted by: ad Sep 12 2009, 08:37 AM
Tragedi

Tragedi menimpa lagi
menghentak diriku sekejam mungkin
mata berair, merah dan pedih
meronta daku terkapai sendiri
jiwa memberontak..luka berdarah.

Malam yang suram
bulan yang murung
bertemankan bintang-bintang
yang pudar cahaya
pungguk pun menyepi
irama lalu kaku
tiada lagi bahagia di malam ini

Ketibaan fajar
tak dinantikan lagi
biarlah terus malam
yang sebenarnya malang

Aku tak teringin
untuk bertekun kembali
tiada yang kuharapkan lagi
di fana ini

Sememangnya sukar kuterima
kenyataan pedih lagi pahit
aku terseksa di dunia kepalsuan
boneka berdiri..tegap tapi kaku
watak hodoh, dungu dan kejam
berkeliaran jua si hipokrit
kasih sayang jauh sekali
ibarat titisan embun di pinggir daun
aku lantas terus hidup
bernafas dalam lumpur....

Posted by: ad Sep 12 2009, 08:38 AM
Kerana Dia

Teman,
kerana dia kau dan aku bertemu,
kerana dia jualah kau kusayang
namun sebak hatiku mengenangkan
kau hadir dalam hidupku
kerana dia yang pergi

Teman,
jangan dia kau benci
kerana dia kita berjumpa
kerana dia tempatmu di hati
usahlah kau ragu
aku tetap gembira disampingmu
walaupun bersamanya dulu
aku pernah tersenyum

Teman,
jangan kau marah aku
menyebut namanya selalu
kau tahu kisah laluku
kerana dia pernah bertakhta
dia cukup unggul di mataku
dia pernah menyayangiku
namun kerana dia jualah
hidupku tak keruan
kerana dia
aku cukup derita

Teman,
jangan kau dendam dengannya
hanya kerana dia yang pertama
hanya kerana dia kau yang ke-2
walaupun kau datang selepasnya
kasih sayangku padamu
setulus hati
ibarat kau yang pertama
bukan sekadar pengganti...

Teman,
kau perlu tahu
tak betahku mengenalimu
tak mungkin kita berbicara
jika bukan kerana dia....
yang melangkah pergi...

Posted by: ad Sep 12 2009, 09:02 AM
Walau Sepotong Ayat

Sampaikan pesanan-pesanan itu
kata-kata nasihat
cerita-cerita tauladan
kisah-kisah sufi
teguran membina
sampaikan pada mereka
walaupun sepotong ayat

Pesanan baik yang kau terima
jgn sekadar disimpan untuk dirimu
sampaikan..sebarkan
mereka juga sepertimu
amat memerlukan kata-kata yg baik
berlegar di sekeliling mereka

Alangkah bertuah
jika hidup tak pernah jauh
dari kata-kata pesanan
nasihat dan tunjuk ajar
bicara yang berilmu
dari segenap keprihatinan di sekelilingmu

Sepotong ayat terkandung nasihat
ibarat benih bermutu
campakkan pada tanah yg luas
menjadi pohon
berakar umbi
subur menjadi rimbun
berbuah lebat
menghasilkan lebih banyak benih yg baik

Sampaikan walau sepotong ayat
agar kita sentiasa ingat-mengingatkan
tak pernah jauh dari nasihat
dan pengajaran yang menginsafkan


Sampaikan olehmu
walau sepotong ayat.....

Posted by: ad Sep 12 2009, 09:04 AM
Persahabatan

Persahabatan
jambatan siratulrahim
sesama insan kita bajai
perasaan kasih sayang tulus dan suci
seumpama mengasihi diri sendiri...

Persahabatan murni
milikan bererti
harum mewangi bak aroma kasturi
teman menangis jua ketawa
berada di sisi di saat derita
sedia mendengar sanggup membantu
bermanis muka biarpun hiba
pemberi semangat dan harapan
penawar hati penajam fikiran
menyedarkan kita ketika alpa...

Sahabat sejati
ibarat sebutir bintang begermerlapan
di antara jutaan bintang di langit kelam
Jangan biarkan ia malap
peliharalah ia dengan keikhlasan
teguhkan persefahaman
binakan ikatan mesra
moga ia terus bersinar....

Posted by: ad Sep 12 2009, 09:05 AM
Amarah

Dalam diam
api mulai marak
tanpa amaran
tanpa selingan
Ia terus menjulang
hangat membakar segala
tiada belas
tiada ragu
dan ia kian marak
hingga terkeluar
dari landasan diamnya
mengejutkan semua
namun apakan daya
sudah terlewat
api yang marak sukar dipadam
sisa cuma kerentungan
tinggal kini hanya penyesalan
bagi mereka yang dulu
leka bermain api
yang suatu tika hanya sekadar
sebatang mancis
tanpa amarah
dan dendam...

Posted by: ad Sep 12 2009, 09:06 AM
Menadah Ke Langit

Tuhanku
memang benarlah aku tergolong
mereka yang rugi
mereka yang tercela
kelompok manusia yang menjadi kemurkaanMu
insan hina yang hilang arah

Tuhanku
memang benarlah aku termasuk
mereka yang bodoh dan bebal
mereka yang degil
mereka yang dungu
mereka yang hilang cahayanya


Tuhanku
kerana itu aku mengerti
doa-doaku makin terhijab
kerana hitamnya noda-noda
tak terangkat kerana beratnya dosa
nah!mudarat hidupku
tak terurus dan melata

Tuhan...
aku menadah tangan
dengan rasa kerdil diri
hina dan sesal
ampuni aku...
belaslah aku
sayangilah aku
kasihanilah aku
jangan biarkan aku sendiri
tiada tempat untuk mengadu

Tuhanku
jgn lepaskan aku kelemasan
hanyut dalam lautan tak bernoktah
tunjukkan aku nur cahaya
agar aku dapat berenang
merentas kepekatan gelap malam
menuju terang
menuju siang
menuju jalan yg Kau redai.

Kasihanilah aku,Tuhan
jgn biarkan aku sendiri
mengemudi hidup tanpa petunjukMu
tanpa keredaanMu...

Posted by: ad Sep 12 2009, 09:07 AM
Rintihan Ayah Bonda

Betapa mata ini berat memandang, anakku
Betapa hati ini hancur bak kaca terhempas di batu
Tatkala melihat dirimu berubah sikap
Corak pakaianmu, mentalitimu dan gaya hidupmu
Sudah jauh berbeza dari dahulu
Malah dirimu seakan tidak kukenali lagi
Ke mana didikan agama yang kuberi
Ke mana nilai kasih sayangmu terhadap keluarga
Ke mana hilangnya warisan ilmu
Adakah disambar kejutan budayamu disana?
Atau sengaja berbuat lupa
Kerana diri rasa cukup hebat
Dan kolot jika dilabel ‘budak baik’
Yang masih mengekalkan kesantunannya?

Betapa air mata ini mengalir kecewa
Pengorbanan ayah ibu bak tak berharga
Segala didikan murni bagai tak pernah dipelajari
Malu mengenangkan arahmu, anakku
Ayah ibu tak pernah mengajarmu begini
Menonton kehidupanmu kini
Hati ini menjerit pilu
Adakah kau masih bertiang agama
Solatmu masihkah cukup lima
Doamu tetapkah mengharapkan redhaNya
Atau sudah lupa menyebut kalimahNya?

Anakku,
Ayah ibu masih mengasihimu
Kasih sayang kami tak boleh dijual beli
Bukankah air yg dicincang tak akan putus
Namun kami tak pernah mengharapkan balasan
Kemewahan atau kebendaan duniawi
Wang ringgit tak akan mengabui mata kami
Takkah kau sedar pengorbanan kami dahulu
Berlinang keringat, darah dan air mata
Kerana sedar anak adalah amanat Allah
Pengorbanan kami memikul tanggungjawab
Utk mendidikmu dgn sempurna
Pendidikan, agama dan akhlak
Bukan sekadar kejayaan mengejar duniawi

Anakku,
Ayah ibu masih menyayangimu
Sekalung doa masih mengiringi diakhir solat
Mulut ini tak jemu berbisik
Memohon kepadaNya agar kau sedar
Hidup ini tak bermakna
Tanpa nur cahaya di dalam jiwa
Ketenangan tak akan kau kecapi
Selagi hayatmu bergelumang dosa
Ketahuilah anakku
Kekecewaan ayah ibu
Bertali arus tak berhenti
Selagi hatimu tak diketuk
Cahaya keinsafan sejati….
Hanya doa-doa sajalah mengiringi kami…

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:19 PM
Hanya Dikau

~dedikasi buat ‘Teddy’~

Kau hadir di suatu hari
seakan jawapan kepada doaku
dengan takdir tuhan kita bertemu
Sayangku…kekasihku

Kau penawar jiwa yang dalam kekosongan
kau menyentuh naluri kewanitaanku
kau mengajarku menyayangi
dan jua merindui…

Kekecewaan silamku ingin kutinggalkan
kerna kau menyedarkan aku
erti kematangan
titik noktah suatu zaman keanakan
remaja yang kehilangan arah

Dari kebekuan
kau bawa perasaan
dalam kegelapan kau bawa cahaya
dengan hati yang penuh kasih dan penawar
kau mencuri malam lenaku…..

~I still miss you~

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:20 PM
Kau Dan Aku Ada Sesuatu

Antara kita ada sesuatu…
perasaan yang sukar diungkapkan
mahu kuluahkan terasa malu
ibarat tiada kata-kata
mampu membentuk bait ayat terindah
sepertimana aku dambakan

nukilan puisiku tiada lagi arah
ia juga turut mengalah
pada ketandusan kata-kata

aku pun tersentak
terasa ada sesuatu menyentap
sejak kehadiran kau

kau buat aku termangu
terpukau tanpa kata
ada sesuatu antara kita
aku dapat merasakan
isyarat itu terlalu kuat
tapi kau dan aku
tetap berlagak biasa
seolah tiada sesuatu antara kita
kau tersenyum..aku tersenyum
namun sesuatu itu tetap melingkari
antara kau dan aku sama-sama malu……

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:21 PM
Lilin Aroma

(bagaimana harus melupakanmu, Teddy?)

Lilin aroma itu
penuh dengan ingatan rindu
pemberian kasih dan sayang
hingga kini kusimpan rapi
tak tergamak aku untuk membuangnya
hanya kerana kasih terlerai

Lilin itu tetap menghiasi
setia mengeluarkan aroma Vanila
tak pernah aku menyalakan cahayanya
walau permintaan darinya
kunyalakan di Hari Jadiku
kekuatanku tak tersampai ke situ
aku begitu takut bermain api
api-api yang pernah semarak dulu
kini sudah menjadi debu

Lilin aroma itu
akan kutatap lagi
setiap kali aku merindui
lilin itu menyimpan kenangan
hadiah terbaik
dari seorang teristimewa
suatu tika dahulu

~aku masih merinduimu~

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:22 PM
Aida Di Tengah Malam

(Dedikasi khusus buat dirinya)

Di tengah malam yang hening
kala mata sudah kuyu
atau memang sudah pun terlena
enak dibuai mimpi indah
dia masih setia di sini
berteduh di Teratak ini…

Celoteh tanpa suaranya menemani
mereka yang keseorangan
mereka yang perlu berteman
mungkin juga bergurau senda
dengan si ‘dahan a.k.a dd’ penjaga masa
adakalanya dia bersendirian
namun tetap setia di sini…
berteduh di Teratak ini…

Kenapa di malam hening?
lewat dinihari menyapa…
kenapa tidak di kala malam muda?
ohh..jangan salahkannya
beza masa benua Eropah-Asia
5 jam kita mendahuluinya….

Aida di tengah malam
jari-jemari tetap setia menaip
kata-kata buat 2-3 Teratakian
yang masih segar terjaga
samada benar belum terlelap
atau turut berada di perangkap masa
yang berlainan waktu siang dan malamnya
dari bumi Malaysia tercinta

Aida di tengah malam
walau kehadirannya sebentar cuma
sementara menemani trip ayah
seminggu di bumi Hitler
tetap mencuri perhatianku
dia kugelar Aida di tengah malam
sesuai dengan karektornya
yang istimewa dan mencuit hati
Aida yang pasti dirindui…..

Aida di tengah malam
semoga kembalimu ke tanahair
menjadi Aida di tengah siang
jangan terus menyepi…..
Teratak ini pasti sunyi…

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:24 PM
Jangan Pisahkan

Aku dan kau
terlalu lama mengenali
ibarat mengenali tapak tangan sendiri
corak dan laku sudah dapat dibaca
hingga riak muka sekilas difahami
begitu akrabnya kita!
mampukah terpisahkan???

Namun sepanjang perhubungan ini
bukan semuanya seindah pelangi
banyak waktunya kita diuji
hanya kesabaran menjadi benteng
diiringi doa dan tawakal yg tak pernah putus
cekal yg masih bertahan
harapan yg tetap ada
penantian yg terasa menyeksa
pengorbananan yg tak sudah

Badai melanda kita tetap cuba berdiri
agar cinta kita tidak dikikis
dan dugaan itu begitu dasyhat
adakalanya airmata seperti sungai alirannya
mana mungkin kita berpisah
setelah segalanya kita hadapi?

Kau dan aku tetap percaya
takdir itu bukan kita merancangnya
hanya pada Tuhan kita berserah
agar jodoh itu tetap dipihak kita

Jangan pisahkan
kasih sayang ini anugerah terindah
terasa ia lembut membelai hati
membasuh duka-duka yg sendu
membuatku tersenyum seketika
walau dalam hiba dan sayu

Jangan pisahkan
kumohon padamu Tuhan
satukan kami dalam ikatan suci
jangan biarkan kami sengsara
menanti restu yg tak kunjung tiba
moga mereka sedar
Dua jiwa ini sudah tak terpisahkan
kecuali dengan kuasa takdirMu, Tuhan…

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:27 PM
Sebuah Pertanyaan

Aku tak tahu perjalanan hidupmu
terlalu setianya kau pada rahsia
apa yang kutahu
adalah apa yg kau pamerkan sekarang
waktu silammu masih selingkar rahsia
tak dapat kuteka apa yang bermain difikiranmu

Tak pernah kau bercerita
tentang sejarah hidupmu
kau enggan menjawab pertanyaan ikhlasku
membiarkan aku dengan seribu persoalan
tanpa jawapan yang pasti
aku tak berdaya mendesakmu lagi

Apa yang hanya kau luahkan
hidupmu tak seindah mimpi
perjalananmu penuh liku
kau tak mahu menoleh lagi
pada hari-hari semalam
niatmu kini hanya memandang hari esok
dan menebus kesilapan lalu
membuktikan sesuatu yang jitu

Tanpa ulasan lanjut
kau kembali membisu
setiap kali kubertanya latar hidupmu
kau hanya geleng kepala
apabila kuajukan tentang keluargamu
ada airmata bergenang
namun kau paksa dirimu bertahan
agar ia tak tumpah membasahi pipimu
penderitaan terlukis pada wajahmu
matamu terpamer kelukaan
saat itu aku tahu
kau benar-benar menyimpan rahsia
dan kau tak ingin membicarakan
walau pada sesiapa
walau pada diriku…

Kini kumengerti
aku tak akan bertanya lagi…

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:28 PM
Teddy Yg Tak Terlupakan

Teddy,
bertahun kita terpisah..
tidak bersua muka..
hanya mendengar suara..
kerinduan ini sarat sudah..
bayangan wajahmu sering menjelma…

Teddy,
beritahulah padaku..
bagaimana caranya…
utk aku melupakanmu..
kenangan kita dulu terlampau kuat…
aku tak daya meluputkannya
ia masih segar menghantuiku..
apakah dosaku memikul bebannya??

Teddy yang tak terlupakan,
aku masih menyintaimu
percayakah kau???
dan aku tahu…
kau jua berperasaan begitu
kita berdua sama-sama terseksa
kita adalah mangsa keadaan
kita saling tak merelakan
perpisahan yg kejam itu…

Teddy,
aku kini masih sendiri
menganyam sepi…
tanganku masih tak sampai
untuk mencapaimu
aku semakin terlontar jauh darimu

Teddy,
biar ramai pria kutemui
tiada yang sama denganmu
kau adalah satu-satunya
yg benar2 kucintai…
kau adalah Teddy yg tak terlupakan
….tak terlupakan…

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:28 PM
Teddy Yg Tak Terlupakan

Teddy,
bertahun kita terpisah..
tidak bersua muka..
hanya mendengar suara..
kerinduan ini sarat sudah..
bayangan wajahmu sering menjelma…

Teddy,
beritahulah padaku..
bagaimana caranya…
utk aku melupakanmu..
kenangan kita dulu terlampau kuat…
aku tak daya meluputkannya
ia masih segar menghantuiku..
apakah dosaku memikul bebannya??

Teddy yang tak terlupakan,
aku masih menyintaimu
percayakah kau???
dan aku tahu…
kau jua berperasaan begitu
kita berdua sama-sama terseksa
kita adalah mangsa keadaan
kita saling tak merelakan
perpisahan yg kejam itu…

Teddy,
aku kini masih sendiri
menganyam sepi…
tanganku masih tak sampai
untuk mencapaimu
aku semakin terlontar jauh darimu

Teddy,
biar ramai pria kutemui
tiada yang sama denganmu
kau adalah satu-satunya
yg benar2 kucintai…
kau adalah Teddy yg tak terlupakan
….tak terlupakan…

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:37 PM
Maaf

Maaf di atas segala yang berlaku
tak ingin kuulangi
buat kedua kali

Amarah yang kau pendam
lahir dari perbuatanku
dan aku mengerti
sekiranya kau membenciku
lalu menyisihkan diriku

Jika tiada maaf bagimu
apalah dayaku
kerana yang bersalah adalah aku
seorang insan tak punya apa
hanya sekeping hati
yang rasa berdosa

Maafkanlah
kesilapan itu kesilapanku
luahkanlah apa yang kau mahu
akulah penipu
akulah yang bersalah
akulah…

Sebuah kemaafan
hanya itu yang kupinta
darimu…teman…

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:38 PM
Buat Adikku Aida dan Didie

Adik-adikku Aida dan Didie
seorang di UiTM
seorang di Fachhochschule Darmstadt
tuntutlah ilmu tanpa jemu
kerana ilmu amat berharga
harta kekal tak akan surut
kepentingannya melebihi segala harta di dunia
kuatkan azammu
genggam bara api
biar sampai jadi arang…

Adikku Aida dan Didie
tabahkan hatimu menempuh hidup
kerna jalanan itu
pasti ada liku dan onaknya
kuatkan semangatmu
jangan sesekali berputus asa
sesungguhnya Tuhan itu bersama
orang-orang yang sabar

Adikku Aida dan Didie
gembirakan hati ayah bonda
jadilah anak yang taat dan berbakti
contoh kepada adik-adik
semoga kebaikanmu
menjadi ikutan mereka
biar sejuk hati ayah bonda
melihat budi pekertimu yang mulia
tiada apa yang membahagiakan mereka
selain melihat anak-anak berjaya
mereka sayangkan kamu
dan kasih sayang mereka tiada tandingan

Adikku Aida dan Didie
moga kalian memahami
hidup ini adalah perjuangan
segala masalah itu adalah lumrah
kita diuji kerana kasihNya
berdoalah kepadaNya
berserahlah kepadaNya
dan di mana saja kalian berada
ingatlah pada Tuhan Yang Esa
moga hidup kita sentiasa dirahmati…

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:39 PM
Apa Gunanya

Apa gunanya bicara
jika tuturnya mengundang luka
pada hati yang sedia parah
menanggung beban kecewa
seribu duka terpendam
teramat dalam….

Apa gunanya memujuk
jika rajuknya sudah berdarah
mengalir tanpa henti
pekat dan merah
hangat memikul sebak
teramat ngeri….

Apa gunanya memohon maaf
jika maknanya sudah tiada
pintanya terlalu kerap
atas kesilapan berulang-ulang
menjadikan ia pelarian
mainan kata-kata
teramat murah

Apa gunanya kesal
jika segalanya sudah terlambat
tak mungkin berpaling lagi
menyambung suatu kebodohan
kerana yang berlaku
adalah bukti kecuranganmu
teramat nyata…

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:48 PM
Aku Mahu Menyintaimu

(Tetapi aku tidak dapat…)

Aku mahu menyintaimu
tetapi aku tidak dapat
telah kucuba berulangkali
tetap rebah tewas sendiri
dengan perasaan yg sebaliknya
tentu kau kecewa jika mengetahuinya…

Bahkan aku sendiri tidak mengerti
mengapa setelah kukerah segenap kekuatan
masih cinta itu tidak hadir
sebagaimana yg kau harapkan dariku….

Aku mahu menyintaimu
demi membalas baik budimu
pengorbananmu tak terungkap dengan kata-kata
terlalu besar kasih sayangmu
namun kenapa aku masih kalah
tidak berdaya menyintaimu
sepertimana cinta yg kau taburkan padaku?

Aku mahu menyintaimu
tetapi aku tidak dapat
mampukah aku membohongi hatiku selamanya
dengan kata-kata cinta
sedangkan aku mahu menyintaimu
setulus hati tetapi aku tidak dapat….
hatiku masih tidak bergetar utk
menyintaimu sepertimana kau menyintaiku….

Kukerah tenaga sehingga lelah
tetap cinta itu tak mahu hadir
adakah aku tak cukup berjuang
hingga getaran itu tak terasa….

Aku berusaha meraih perasaan itu
tapi aku tidak dapat
oh! aku benar-benar kecewa
kenapa hatiku ini begitu degil
utk melepaskan kenangan lalu
dan menerima cintamu yg tulus suci???

Tuhan..
sekiranya dia jodohku
titipkan perasaan kasih sayang dan cinta
dalam hatiku kepadanya
kerana tanpa kurniaan cinta dariMu
aku tak mampu berbohong lagi

Aku tak berdaya menyintai seseorang
tanpa Kau izinkan perasaan itu
bersatu dihati segenap ragaku..

Aku masih cuba
dan akan terus mencuba
utk menyintaimu
sehingga aku benar-benar pasti
bahawa kaulah lelaki itu
yg ditakdirkan untukku

Aku mahu menyintaimu
sepertimana kau menyintaiku
aku tidak mahu menghampakanmu
harapanmu padaku tak pernah surut
bahkan kasih sayangmu
terus membanjiri hidupku
tanpa dapat aku membalasnya
sebaik budimu……

Aku benar-benar mahu menyintaimu
biarkan aku terus mencuba
kerna aku sungguh2 tidak mahu
hatimu dikecewakan lagi……

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:51 PM
Jangan Menangis Sayang

Jangan menangis sayang
air matamu bak hujan turun
menghibakan lagi perasaanku
keringkan pipimu,sayang
usah benarkan tangisanmu
tercetus lagi di wajahmu
walau terpaksa menangis
di dalam hati
lebih baik begitu….

Jangan menangis sayang
perpisahan ini bukan dipinta
terpaksa kita merelakannya
yang berlalu biarkan berlalu
sememangnya kita tak ditakdirkan bersama
terimalah kehendakNya
walaupun pahit untuk ditelan
kita dicipta bukan untuk bersama……

Jangan menangis sayang
kenapa tangisanmu semakin laju?
titisan air matamu hanya
menyayat pilu hatiku
lupakan saja kenangan bersama
binalah hidup baru
kuyakin kau dapat menempuhinya
walau tanpa kehadiranku

Anggaplah pertemuan kita
adalah takdirNya
sekadar menguji kita
dan anugerah kasih sayang yang tercipta
adalah suatu rahmat dariNya

Sayangku…..jangan menangis
ku kan’ tetap menyayangimu
biarpun kita berpisah
ingatan dan rinduku mengiringi selalu
doaku kau berkekalan bahagia
kasihku padamu tak mungkin terpadam…

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:53 PM
Buat Sayap Yang Terbang Tinggi

~buat Wings On A Prayer

Buat sayap yang sering datang dan pergi
adakah kepakmu diperbuat dari emas dan berlian
sehingga terlalu berat kau mengirim salam
sudah sekian lama kini
kau menghilangkan jejak
tanpa dapat aku kesani

Buat sayap yang suatu waktu menyapaku
kekagumanku bukan olok-olok
ia datang dari hati yang dalam
ibarat mendengar penglipur lara
sesuatu yang ada kuasa magisnya
bukankah takjub namanya?

Buat sayap yangg terbang tinggi
adalah kau berpergian jauh
sampaikah kau di pergunungan
jejakkah kau di hujung awan?
rimba mana menjadi taman permainanmu kini
mungkinkah kau bersandar dihujung pelangi?

Seru aku pada angin
sampaikan salamku padamu
mungkin kau terasa hembusannya
mendayu-dayu memanggilmu
atau adakah kau lewa mendengarnya
hingga meminggirkan segalanya

Buat sayap yang menghilang
kedua-dua sayapmu masih utuh
usaplah ia agar terus bersemangat
jangan biarkan ia patah
kerna sekali tercedera
amat payah pulih semula
memakan masa utk terbang kembali
ke langit bebas
ke segenap dunia…

Posted by: ad Jan 2 2010, 01:54 PM
Buat Kekasih Di Bulan Februari

Aku tak pandai berbicara romantis
dihadapanmu aku menjadi kaku
tak terluah baris-baris cinta
walau di hati meronta
ingin kau mengetahuinya
cintaku padamu bukannya mainan
tetapi sesuatu yang tulus
tak ternilai dengan harga!

Lalu di suatu hari
di bulan Februari
kukarangi sebuah puisi untukmu
coretan merah jambu ini
sebagai pengganti bicaraku
yang tak terluahkan selama ini

Kekasih
kau begitu penting dalam hidupku
aku memerlukanmu lebih dari yang kau sangkakan
aku merinduimu lebih dari pungguk rindukan bulan
aku mendambakanmu lebih dari
sang puteri mendambakan putera rajanya
dan aku mencintaimu
lebih dari kau menyintai diriku…

Kekasih
kalungi puisi ini dalam tangkai hatimu
agar setiap saat dapat kau merasakan
getaran cintaku yang semakin kuat
moga kau mengerti
hidup ini tak selalunya indah
tapi keindahan dapat kurasakan
setiap kali memandang wajahmu
membiaskan cinta
yang tulus dan suci……

Sesungguhnya, kasihku…
aku ingin tua bersamamu…

I wrote your name in the sand, but the waves washed it away. I wrote your name on my hand but I washed it the next day.
I wrote your name on a piece of paper but I accidentally threw it away… I wrote your name in my heart and forever it will stay!


Posted by: ad Jun 7 2010, 12:55 AM
Kasih Sayang

Indahnya ciptaan Ilahi
keajaiban semulajadi
perasaan halus berseni
membahagiakan rohani

Sukar untuk dimengerti
sentuhan yang wujud di hati
Ibarat suatu ilusi
tiada terungkap puisi
Sinar bahagia memancar lagi
tika ia menyentuh hati
alangkah bertuahnya kumiliki
kasih sayang penenang nurani....


Powered by Invision Power Board (http://www.invisionboard.com)
© Invision Power Services (http://www.invisionpower.com)